Isnin, 30 Oktober 2017

FIRDAUS MENDAPAT HIDAYAH

Surau Taman Seri Aman Yong Peng


Assalamualaikum wbt.

Sesiapa yang 'rajin' mengikuti FB atau blog saya tentu masih ingat seorang pemuda Cina yang berusia 41 tahun telah memeluk Islam.  Kali pertama saya temuinya ketika kami sama-sama bersolat Jumaat di masjid. Pemuda tersebut memilih nama Muhammad Firdaus. 

Saya telah beberapa kali bertemu dengannya apabila dia bersolat isyak berjemaah di surau taman kediaman saya. Sebenarnya rumahnya hanya lebih-kurang 500 meter dari surau dan dalam lingkungan kariah surau saya juga. walaupun tidak tinggal dalam kawasan taman perumahan.

Saya belum rapat dengan Firdaus seperti mana dengan Hassan Goh, Muhammad Arif dan Salmiah Lakshmi. Dia nampaknya berhati-hati memilih kawan. Saya selalu mengajaknya ke surau di tempat saya supaya dapat berkumpul dengan Hassan dan Arif, tetapi dia memberi alasan, Pak Ciknya tinggal berdekaran dengan surau.  Dia tidak mahu Pak Ciknya ternampak dia ke surau sekali gus mengetahui yang dia sudah beragama Islam.

Saya pernah bertanya kepada Firdaus, bagaimana dia boleh tergerak hati memeluk agama Islam, sedangkan dia mendapat didikan Cina sejak kecil dan tidak pernah bersekolah kebangssan.

Dia memberitahu saya.  Ceritanya begini:

Ketika dia bekerja di sebuah syarikat swasta di Johor Bahru, dia telah berkenalan dengan seorang gadis Melayu. Daripada perkenalan itu lama-kelamaan timbul bibit-bibit cinta dan kasih-sayang. Namun hubungan mereka dicemburui oleh seorang lelaki Melayu. Tidaklah diketahui cemburu itu kerana Firdaus dan gadis itu berlainan agama atau kerana lelaki itu juga ada menaruh hati kepada si gadis.

Suatu hari lelaki Melayu itu telah menemuinya dan memberi sepotong ayat. Kata lelaki itu kepada Firdaus, ayat itu ialah ayat yang membolehkan seorang Islam jadi murtad jika membacanya (Ini kelakar, kata saya.  Mungkin dia hendak menakut-nakutkan Firdaus.  Sedangkan waktu itu Firdaus belum memeluk Islam dan belum pun bernama Muhammad Firdaus).

Firdaus menjadi takut dan hairan dengan tindakan lelaki Melayu itu, lalu nekad meninggalkan gadis itu.

Pada suatu malam Firdaus telah bermimpi.  Di dalam mimpinya itu seolah-olah dia sedang duduk mengaji (saya tanya dia, mengaji apa?  Sedangkan dia masih belum memeluk Islam.  Dia jawab - tak tahulah. Perkataan mengaji itu pun diketahui setelah dia memeluk Islam). 

Sedang dia asyik mengaji itu tiba-tiba kelihatan seperti ada satu cahaya yang sangat terang datang dari atas menyuluh ke arah kepala dan menerangi persekitarannya. Apabila dia tersedar dari tidur, dia termenung memikirkan tafsir mimpinya itu. Dalam hatinya berkata...mungkin ini pemberitahuan dari Allah. Tidak berapa lama kemudian, dia mengambil keputusan memeluk agama Islam tanpa pengetahuan keluarga malah tanpa pengetahuan ibu dan bapanya juga

Bagaimana penerimaan ibu dan bapanya? Saya akan sambung nanti kisah ini....




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...