Khamis, 11 April 2013

CATATAN MENGERJAKAN UMRAH (BAHAGIAN 6)

Assalamualaikum wbt.

PENDAHULUAN 
Catatan bahagian ke 6 ini saya mulakan selepas solat subuh (10 April 2013). Bermakna sudah 7 hari kami kembali ke tanah air. Sudah menjadi kebiasaan, setiap jemaah yang pulang akan mengalami sedikit gangguan 'alahan cuaca'. Semasa di Mekah dan Madinah...saya ok sahaja. Tetapi bila sehari sampai di rumah, saya mengalami batuk-batuk.  Isteri saya sudah batuk-batuk semasa di Madinah lagi. Dua orang anak lelaki saya setakat ini masih okey. Cuma anak perempuan saya yang nampaknya 'macam biasa' semasa pulang. Malam tadi, tepat jam 12 malam (saya baru tamat membuat catatan bahagian ke-5) warden SMKA Muar menelefon: " Anak encik dimasukkan ke wad hospital Muar kerana batuk-batuk yang kuat dan mungkin demam juga." Terima kasihlah Cikgu/Ustazah Anita...kami akan datang ziarah hari ini. Mungkin dia kekurangan air. Almaklum tinggal di asrama. Kebenaran melawat pesakit hanya pada jam 12.30 tengahari. Dapatlah saya menaip sedikit bahagian ke-6 ini.

Nurul Najihah akan menduduki PMR tahun ini di SMKA Muar.  Harap2 kesihatannya tidak mengganggu pembelajaran.
Gambar pada 10.4.2013 jam 12.45 tgh di Hospital Muar
MEWAKAFKAN AL-QURAN
Di luar kawasan masjid sama ada di Mekah atau di Madinah, terdapat hingga lima - enam orang menjual al quran untuk diwakafkan. Harganya hanya SAR20. Saya mengambil keputusan membeli beberapa naskah al-quran, kemudian mewakafkan ke masjid dengan diniatkan nama orang-orang yang menyumbangkan wang kepada kami sebelum berangkat. Begitu juga dengan anak-anak yang tidak mengikut sama serta kedua ibu bapa sendiri dan mertua.  Mudah-mudahan pahlanya sampai kepada mereka pada setiap kali quran tersebut dibaca.
SR20 untuk diwakafkan

MEREKA PEMINTA SEDEKAH SEBENAR ATAU MALAIKAT?
Ustaz kata, di Mekah dan di Madinah (luar kawasan masjid) terdapat ramai peminta sedekah. Ada yang sentiasa menggendung anak kecil dan ada yang cacat anggota.  Tetapi jangan tertipu, kata ustaz lagi.  Sambil menunjuk seorang kanak-kanak perempuan yang kelihatan kudung kedua-dua belah tangannya. Bila dilihat betul-betul, rupanya kanak-kanak tersebut memlipatkan kedua-dua belah tangannya.  Kedua-dua bahagian sikunya kelihatan sedikit di hujung lengan bajunya. Maka kelihatanlah seperti kudung. Kalau kita hulur kepada seorang...akan menderu beberapa orang lagi meminta.

Nak beri...berilah, kalau tak mahu, diam-diam sahaja. Demikian pesan ustaz. Arab Saudi sebuah negara yang kaya.  Mengapa dibiarkan ramai peminta sedekah menganggu para jemaah. Bukankah elok kalau semua peminta sedekah itu dikumpulkan di satu tempat dan diberi kos kehidupan (kerana Arab Saudi negara kaya). Di masjid tidak ada tabung seperti di kebanyakan masjid di negara kita.  Saya rasa kalau di Masjidilharam atau di Masjid Nabawi diletakkan tabung, sudah pasti mendapat sambutan, sebab mereka yang datang memang ingin beribadat. Bersedekah juga satu ibadat yang dituntut. Pada pendapat saya peminta-peminta sedekah ini bukan orang tempatan. Malah mungkin juga malaikat-malaikat yang menyamar seperti peminta sedekah, untuk menguji tahap kebakhilan kita.

Di dalam masjid ada juga yang meminta wang. Saya mengalami tiga situasi yang akan saya ceritakan nanti.

SAYA KEHILANGAN DUIT LEBIH SERIBU RM
Ke mana sahaja saya pergi (kecuali ke tandas) saya akan membawa beg sandang yang diberi percuma oleh syarikat. Di dalamnya ada gunting (untuk tahalul), ada pen, ada buku kecil, ada botol 500ml (untuk isi air zam-zam),i ada krim 'vaseline' (untuk sapu di tapak kaki) dan duit. Duit ringgit ada lebih kurang seribu dua ratus dan duit riyal lebih kurang lima ratus. 
Saya sudah serahkan kepada isteri sebagaian wang riyal serta setiap anak seratus riyal. Beli apa yang perlu, tetapi jangan sampai tahap membazir. 
Suatu hari (lupa bila) sekembalinya kami dari masjid (Mekah) dengan cerianya kami meluru ke bilik dan menuju ke katil masing-masing. Saya lihat zip beg sandang saya terbuka (memangpun selalu terbuka). Saya kuak sedikit untuk melihat isi di dalam. Pucat saya. Hanya ada RM10 di dalamnya. Mana yang lain. Saya cari di bahagian-bahagian lain dalam beg, tapi tak jumpa. Lalu dengan wajah kesian saya berkata, "Pah.....duit saya ilang.."
"Hilang ?........macam mana awak ni." Suara isteri dah lain macam.

"Banyak juga....duit ringgit adalah dalam seribu lebih. Duit riyal lebih-kurang 500 lebih."
"Betul ke awak letak kat situ?"

"Betul. Saya bawa beg ni hari-hari.  Awak nampak kan?".
Semua anak terdiam. Mungkin dalam hati mereka berkata: "Habislah duit aku kena mintak semula ni...."
"Awak diam-diam tau....jangan beritahu sesiapa. Balik nanti pun jangan heboh-heboh." Saya dah mula menyalahkan diri sendiri. Mungkinkah duit itu hasil kerja saya yang tidak berkat. Mungkin selama ini ada waktu aku masuk ke kelas lewat atau keluar dari kelas sebelum masa tamat. Atau ada hutang-hutang belum aku jelaskan....atau....atau.....atau....
Saya termenung. "Ah, tak apalah, kalau itu sebagai kifarah ke atas dosa-dosaku, aku rela...." Atau kerana ada peminta sedekah yang aku abaikan pemintaannya. Atau....atau....atau....

Saya pasrah dan tidak menunjukkan sebarang kebimbangan. Saya anggap duit itu bukan rezeki saya lagi.
Nilai mata wang kita lebih besar berbanding SAR (Saudi Arabia Riyal)

TERINGAT KISAH ORANG DUA YAMAN DI MASJIDILHARAM
Ketika saya sedang duduk berzikir sementara menanti azan asar dilaungkan.  Seorang pemuda datang duduk di sebelah kiri saya. Selepas solat sunat dia menghulur salam kepada saya. Saya sambut dengan senyuman. "Malayzie...?" katanya.
"Ya..." jawab saya, sambil menunjuk ke arahnya dengan maksud "Awak pula dari mana?"
"Yaman", katanya lalu mengeluarkan sekeping kertas kecil bertulis dalam Bahasa Melayu.  Saya baca:


Tuan/Puan yang dihormati,

Bapa saya sedang sakit diabetis dan buah pinggang. Perlukan pertolong. Mohon bantuan wang untuk membawa ayah saya pulang ke Yamen.
Sekian, terima kasih.


Tiga, empat kali saya membacanya. Dalam hati saya berkata: "Betul ke dia ni? Manusia ke ni? Malaikat ke ni?" Masalahnya dia tidak boleh berbahasa Inggeris, apa tah lagi Bahasa Melayu. Tulisan yang terdapat di kertas itu mungkin orang lain yang tuliskan. Ejaan 'pertolongan' pun salah. Saya minta pen menggunakan  isyarat. Dia kata tiada dan suruh saya tunggu sebentar.  Lama juga saya tunggu. Sehingga saya jangkakan dia terus menghilangkan diri. Kira-kira 15 minit kemudian dia muncul dengan sebatang pen. Saya ambil dan betulkan ejaan 'pertolong' dengan menambah 'an' di hujungnya. Lantas saya hulur RM50. Saya ikhlas. Dia nak tipu, itu dia punya pasal. Ini di Masjidilharam dihadapan kaabah pula. Manalah tahu dia sebenarnya malaikat!
Esoknya, selepas solat maghrib saya dan dua orang anak (isteri dan anak perempuan di tempat lain) tidak pulang ke hotel, sebaliknya naik ke tingkat atas untuk bersolat isyak di situ selain untuk melihat panorama sekitar Masjidilharam pada waktu malam.
Dari atas kami melihat kaabah yang sedang dikelilingi oleh ribuan manusia. Ramai yang merakamnya dengan  kamera video atau kamera biasa. Setelah puas dan penat berdiri, saya mencari tempat duduk untuk berehat.  Kedua-dua anak saya membaca quran.
Tiba-tiba duduk seorang lelaki muda di sebelah kanan saya. Dia memperkenalkan dirinya dari Yaman. ....Yaman lagi ! (saya tidak pasti sama ada orang yang sama semasa saya beri RM50 kelmarin). Kali ini tiada sebarang nota. Dia menggunakan bahasa Arab bercampur sedikit-sedikit Bahasa Inggeris yang boleh saya faham.
Seperti biasa dimulakan dengan pertanyaan "Malaizie..?" Bila saya kata 'Ya', dia pun mula bercerita:

"My mother in hospital. Want money. You gave me money....you know sadakah?"
Saya termenung dan cuba memandang wajahnya. Dia terus ulang ayat..."You know sadakah?...sadakah ....money...you gave me money...."
"Kelmarin orang Yaman mintak derma untuk bapanya di hospital.  Hari ni untuk emaknya pula. Boleh ke aku percaya ni..."
Hati saya berbelah bahagi. Antara nak beri atau tidak. Dia terus mendesak dengan suara perlahan.  Mulutnya hampir terkena cuping telinga saya. "Money...money...gave me money..."
"Ah...tak percayalah" bisik hati saya. Saya terus berzikir macam cerita Seniman Bujang Lapok yang terus menyebut  ...cobaan....cobaan.....bila diberitahu Rose telah dilarikan penjahat.

Lama-lama pemuda Yaman tersebut beredar. Saya bimbang juga kalau-kalau dia mengeluarkan pisau atau apa-apa senjata dihulurkan ke perut saya.
Ketika balik kami menuruni tangga menggunakan tangga bergerak.  Tiba-tiba terbau sangat busuk. Semua orang menutup hidung. Busuknya sampai hendak termuntah. Rupa-rupanya ada seorang tua di tingkat dua berdiri tegak di tepi tangga.  Matanya memandang ke arah para jemaah yang memenuhi eskalator. Jubahnya bertompok-tomok warna kuning. Semakin dekat dengannya semakin teruk baunya. Dia terberak.... tiada orang yang menolongnya. Kesihan sungguh...saya bayangkan kalau dia adalah bapa saya. Tetapi saya juga tak terdaya nak menolong. Nak guna bahasa apa dengannya...
KETIKA sampai ke hotel itulah....saya dapati duit saya telah hilang.

Di kawasan inilah seorang pemuda Yaman meminta saya wang

SOLAT TAUBAT DAN SOLAT HAJAT.
Dua jenis solat sunat ini selalu saya lakukan bila memasuki Masjidilharam, malah semasa masih di rumah lagi. Apabila duit saya hilang, saya pasrah dan saya mendirikan solat taubat.  Memohon ampun dan redha dengan hukum Allah. Biarlah Allah menghukum di dunia berbanding di akhirat nanti dengan api neraka. Saya benar-benar memohon keampunan sehingga mengeluarkan air mata. Saya menyesal sebab tidak melayan permintaan pemuda Yaman yang kedua tadi dan tidak menolong orang tua yang malang tadi. Selepas itu hati saya tenang sedikit. 
Saya menghantar sms kepada anak di rumah supaya bila menjemput kami di KLIA nanti bawakan juga dompet yang saya letak di atas almari baju. Di dalamnya ada kad ATM, lesen memandu dan kad pengenalan. Saya akan mengeluarkan wang di bank untuk bayaran makan semasa perjalanan pulang dari KLIA ke Yong Peng.
Beg sandang ini saya bawa ke mana-mana kecuali ke tandas

SYUKUR ALHAMDULILLAH...ALLAH MENERIMA TAUBAT HAMBANYA
Dua tiga hari kemudian, saya mengambil baju kemeja yang telah saya sangkutkan di belakang pintu bilik hotel. Tujuannya hendak dilipat untuk dibawa ke Madinah.
Terkejut saya....
"Pah...." Saya menjerit. "Duit saya semuanya ada dalam poket baju ni."

Isteri dan anak-anak semacam terkena pukau...terdiam.
Saya tidak pasti, sama ada memang saya masukkan kesemua duit itu ke dalam kocek baju itu atau......hanya Allah yang tahu!
Tetapi saya yakin, bahawa Allah telah memakbulkan doa saya...................


Alhamdulillah...Duit itu memang hak saya.



Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3 
Bahagian 4
Bahagian 5
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10 (Akhir)
Bersambung...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...