Sabtu, 6 April 2013

CATATAN MENGERJAKAN UMRAH (BAHAGIAN 1)

Catatan ini ialah catatan kenangan secara bersiri semasa saya menunaikan ibadah umrah bersama isteri dan tiga orang anak pada 24 Mac hingga 4 April 2013. Jika anda sudi membacanya...teruskanlah. Jika tidak ... tidak mengapa, kerana setiap mereka yang menjadi tetamu Allah itu akan mengalami pengalaman yang berbeza - Ateh Salim.

Assalamualaikum wbt.

MUKADIMAH
Sebenarnya saya malu untuk memberitahu yang saya baru dapat menunaikan umrah setelah berada di penghunjung penghidupan ini. Setelah didapati giliran untuk menunaikan fardu haji belum juga dipanggil, saya dan isteri yang telah sama-sama bersara awal dari perkhidmatan perguruan ini tekat untuk menunaikan umrah. Umrah adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berkemampuan kata ustaz. Saya telah pun mampu dari segi perbelanjaan dan masa. Apa lagi yang hendak dicari dalam saat-saat nafas yang akhir ini yang dipinjamkan oleh Allah swt ini. Saya tidak berminat untuk melancong ke negara-negara lain selagi belum menjejaki dua Tahan Haram - Mekah dan Madinah.

UMRAH TAMBANG MURAH
Saya telah dipelawa untuk mengikuti Umrah tambang murah sekitar tidak sampai RM4 ribu. Sebagai orang yang tidak pengalaman, saya banyak bertanya kepada mereka yang pernah membuat Umrah. Banyak nasihat dan banyak bahan yang saya baca untuk kebaikan sendiri.  Akhirnya saya memilih syarikat seorang kawan lama yang berpengalaman membawa jemaah dan beliau juga merupakan tenaga pengajar (penceramah Lembaga Tabung Haji) yang diiktiraf. Walaupun tambangnya lebih sedikit dari tawaran tambang murah tadi, tetapi saya lebih yakin dengannya.

PERGI BERSAMA ANAK-ANAK
Saya tidak mampu membawa kesemua anak-anak, kerana mereka sudah ada tanggungan keuarga masing-masing. Maka saya dan isteri berpakat untuk membawa mereka yang masih dalam tanggungan saya. Yang sudah pasti Muhamad Syafiq sebab dia sudah tamat SPM dan hanya menunggu keputusan diumumkan. Isteri saya hendak membawa Nurul Najihah yang belajar di tingkatan 3 di Maahad Muar.  Alhamdulillah Tuan Pengetua meluluskan cuti untuk dia ikut bersama. Disebab ibadah Umrah itu akan dibuat pada cuti persekolahan, maka isteri bercadang untuk membawa Muhamad Fitri bersama. Kelulusan dari Pengarah Maktab agak leceh sedikit, walaupun akhirnya diluluskan juga atas alasan prestasi pelajarannya yang agak baik. Alhamdulillah kelulusan telah didapati dari Pengarah Maktab dan Pengetua Maahad. Maka kami pun mengikuti kursus yang diadakan oleh syarikat pada setiap pagi Sabtu selama 3 jam. 
Isteri dan tiga orang anak yang turut sama

SAYA YANG JAHIL INI...
Walaupun saya telah mengikuti kursus haji anjuran LTH, saya dan isteri tetap mengikuti kursus Umrah dengan tekun dan tak pernah ponteng. Saya tidak mahu pemergian saya itu sebagai 'jalan-jalan makan angin', tetapi untuk mendapatkan Umrah yang mabrur. Berbanding dengan jemaah yang lain, kebanyakan mereka telah berkali-kali berUmrah dan ramai juga yang telah menunaikan haji.


Saya juga bertanya kepada rakan-rakan di surau yang pernah mengerjakan Umrah atau Haji tanpa segan silu.  Biarlah orang kata saya bodoh.  Memang saya bodoh.  Bodoh sebab baru sekarang nak pergi Umrah dan bodoh kerana hanya mendengar ceramah, membaca buku, menonton you tube dan mendengar pengalaman orang tanpa mengalami secara nyata !

SOLAT TAUBAT DAN HAJAT
Selama dua bulan sebelum berangkat saya membuat solat taubat dan hajat. Bangun di dua pertiga malam, memohon keampunan dan mohon dipermudahkan untuk sampai ke Tanah Suci serta dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna tanpa dugaan-dugaan yang tidak tertanggung. 


Sudah berihram di KLIA
SAYA TAKUT DAN HATI BERDEBAR-DEBAR
Banyak kisah-kisah yang saya baca dalam buku atau catatan-catatan lain yang berkaitan dengan pengalaman mereka yang mengerjakan haji atau umrah. Ada yang mengatakan sihat semasa di tanah air, tetapi sakit bila sampai ke Tanah Suci hingga tidak dapat melakukan ibadah. Ada yang kehilangan duit, malah ada yang kehilangan keluarga. Yang dahsyat ada yang tidak nampak bangunan kaabah dan ramai yang sesat dalam masjid sehingga tidak bertemu jalan keluar untuk pulang ke hotel. Sedikit sebanyak itu semua membuatkan saya rasa bimbang (dalam catatan ini saya hanya menyatakan tentang diri saya dan bukan diri isteri serta anak-anak). Sebab itulah saya banyakkan solat taubat dan solat hajat sehinggakan ada kalanya sehingga menitiskan air mata.

Paling banyak saya berdoa, semoga saya diberi kesabaran yang tinggi semasa berada di tanah suci, kerana saya selalunya hendak cepat dalam sesuatu pekerjaan. Kalau isteri dan anak-anak lambat tentu saya tidak senang hati......mulut nak bercakap je!!

Bersambung....
Bahagian 2

Bahagian 3

Bahagian 4
Bahagian 5
Bahagian 6 
Bahagian 7 
Bahagian 8 
Bahagian 9
Bahagian 10 (Akhir) 
 
.......................................

3 ulasan:

Cikgu Aisah berkata...

Syukur alhamdulliah...tertuani sudah niat suci En.Atih...mudah-mudahan apa yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT....bila kita di sana terasa terlalu kerdil diri kita...

Tanpa Nama berkata...

Sebenarnya kami pun berhasrat nak kesana,tapi bila?Biarkan Allah jua yang menentukan.Membaca catatan cikgu membuatkan kami lagi terasa tak sabar-sabar nak kesana.Kami pun sedang berkrusus setiap hari ahad membuat apa yang perlu seperti mana yang cikgu ceritakan,untuk persediaan disana.Cikgu doakan kami semuga hasrat kami termakbul.Kami ucapkan syukur cikgu selamat pulang ketanah air dan semuga mendapat umrah yang mabrul insyaallah.....

Ateh Salim berkata...

Terima kasih Cikgu Aisah Ibrahim dan 'Tanpa Nama'.

Cikgu Aisah dan suami antara pendorong saya untuk menjejaki kaki ke Tanah Suci.

Kepada 'Tanpa Nama'...Saya doakan, tetapi bagaimana saya hendak mendoakan orang yang saya tidak ketahui namanya....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...