Ahad, 7 April 2013

CATATAN MENGERJAKAN UMRAH (BAHAGIAN 2)

Catatan ini ialah catatan kenangan secara bersiri semasa saya menunaikan ibadah umrah bersama isteri dan tiga orang anak pada 24 Mac hingga 4 April 2013. Jika anda sudi membacanya...teruskanlah. Jika tidak ... tidak mengapa, kerana setiap mereka yang menjadi tetamu Allah itu akan mengalami pengalaman yang berbeza - Ateh Salim.

Assalamualaikum wbt.

Terima kasih kerana secara tiba-tiba rating pembaca blog ini tinggi.


MENYIAPKAN DOKUMEN PERJALANAN
Kami menyediakan semua dokumen perjalanan yang diperlukan seperti passport antarbangsa, empat keping gambar berukuran pasport yang berlatarbelakangkan warna biru dan empat keping lagi berlatarbelakangkan warna putih. Salinan kad pengenalan, surat beranak anak-anak dan surat nikah.

MINAT MEMBACA TIDAK MERUGIKAN
Semasa saya bersara dulu ada dua orang rakan menghadiahkan saya buku yang sama tajuknya - TRAVELOG HAJI Mengubah Sempadan Iman karangan Prof. Muhd Kamil Ibrahim. Buku itu banyak membantu saya menyediakan kekuatan dari segi mental untuk mengunjungi Baitullah.
Saya mencadangkan sesiapa yang berhasrat (buat kali pertama) sama ada umrah atau haji, bacalah buku tersebut.



DUGAAN AWAL
Isteri saya yang sememangnya ada penyakit darah tinggi sering mendapatkan rawatan di Hospital Pantai Batu Pahat. Memanglah perbelanjaannya agak tinggi tetapi untuk memastikan tahap kesihatannya berada di paras terbaik. Seminggu lagi tarikh keberangkatan dia mengalami gelap mata.
Saya pula lain halnya, tapak kaki saya mengalami pecah-pecah. Pelbagai ubat telah saya sapu. Sekejap baik dan pecah lagi. Doktor memberi saya ubat sapu yang menjadikan tapak kaki saya kering, tebal dan keras. Bila keras, terjadilah retak....aduh pedihnya jika terkena air. Dalam hati saya, adakah Allah tidak mengizinkan saya memijakkan kaki ke Tanah Haramnya. Ahhh.....jangan bersangka tidak baik kepada Allah.! ...Ampunkan aku Ya Allah....!!!
Saya berjumpa dengan seorang doktor yang kebetulan baru menunaikan fardu haji pada tahun lalu.
Doktor kata lantai mar-mar di dataran kaabah dan di tempat saie boleh menyebabkan kulit tapak kaki seperti ditoreh pisau. Fuhh...ngerinya saya. Dia memberikan saya krim pelembut kulit. Cubalah ini, katanya. Alhamdulilah ada penambahbaikkan.

TARIKH TERTUNDA
Ustaz kata penerbangan dengan Saudi Arabian Airlines dari KLIA terus ke Jeddah.  Ini bermakna kami perlu memakai ihram di KLIA, berniat di dalam kapal terbang sebelum memasuki Kota Mekah.
Tarikh awal penerbangan yang sepatutnya pada 22 Mac (Jumaat) ditunda ke tarikh 24 Mac (Ahad) dan kepulangannya pada 4 April (Khamis).

Saudi Arabia Airline yang kami naiki

 
KALI PERTAMA MEMAKAI IHRAM
Kain ihram merupakan dua helai kain tanpa sebarang jahitan yang dipakai oleh jemaah lelaki. Bagi perempuan pula memadai seperti hendak mengerjakan solat.
Saya cuba memakai ihram pemberian percuma syarikat. Disebabkan saiz saya XXXL, maka kain ihram saya juga besar dan lebar. Rupanya payah juga mengenakannya. Dengan mengenakan tali pinggang pasti kain ihram tidak akan terburai.
Ustaz berkali-kali mengingatkan jemaah agar berhati-hati setelah memakai ihram. Jangan duduk sebarangan kerana antara pantang-larang berihram ialah tidak memakai seluar dalam.


MACAM-MACAM PESANAN KAWAN-KAWAN
Ramai rakan (terutama yang pernah mengerjakan haji dan umrah) memberi sokongan moral kepada saya. Mereka mengucapkan tahniah.  Sebenarnya saya malu sebab saya bukan pergi mengerjakan haji..hanya umrah. Umrah pun wajib juga kata mereka.
Ramai juga yang mengirim salam kepada Baginda Rasullullah. Tidak kurang juga yang minta tolong mendoakan semoga dapat menjejakkan kakinya ke Tanah Suci. Malah ada yang minta doakan untuk dipertemukan jodoh, disembuhkan penyakit, diterangkan hati serta doa untuk anak-anak mereka.
Saya katakan...Insyallah. Saya sendiri belum ada pengalaman ke sana.  Tetapi kursus dan pembacaan banyak mengajar saya secara teori. Saya sediakan sebuah buku kecil untuk mencatat kesemua pesanan tersebut agar tidak lupa. Dan buku itu  sentiasa berada di beg sandang saya sepanjang masa berada di Tanah Suci. Ini bermakna kesemua pesanan telah saya laksanakan. Terpulanglah kepada Yang Maha Kuasa menerima dan memakbulkannya. Saya berdoa di Majidil Haram, di hadapan Kaabah, di Raudah dan di Masjid Nabawi.


Semua pesanan rakan/sahabat/saudara sama ada menerusi lisan, SMS, FB dan whatsapp saya tulis dalam buku ini dan sentiasa berada dalam beg sandang saya

MENYELESAIKAN HUTANG-PIUTANG
Perkara utama yang saya perlu lakukan ialah dengan menyemak segala hutang-piutang yang perlu dibayar. Ada dua hutang yang tidak dapat dijelaskan iaitu hutang rumah dan hutang kereta. Kedua-duanya dibayar secara potongan duit pencen setiap bulan.
Semua bil seperti telefon, air, elektrik dan internet perlu diselesaikan juga. 

ANAK-ANAK HENDAK MENGHANTAR
Anak-anak yang tidak pergi, kecuali yang berada di Lahad Datu, Sabah bercadang hendak menghantar sehingga ke KLIA. Saya kata tidak payahlah, sebab pihak syarikat ada menyediakan perkhidmatan bas dari Batu Pahat ke KLIA. Begitu juga apabila balik nanti, ada bas dari KLIA ke Batu Pahat. Namun anak-anak berkeras untuk menjemput semasa sampai di KLIA nanti.  Sebenarnya saya tidak mahu menyusahkan anak-anak, terutama apabila melibatkan pengambilan cuti bekerja.

Anak-cucu yang menghantar ke Batu Pahat. Gambar saya ambil dari dalam bas dengan perasan sebak...
Dalam bas dari Batu Pahat menuju KLIA
...dan tiga orang anak yang ikut sama
Anak dan ipar yang sedia menanti di KLIA

bersambung ke bahagian 3..
Kisah-kisah yang akan saya catatkan dalam bahagian-bahagian seterusnya:
Air mata menitis melihat kaabah
Duit saya hilang
Saya takut berjumpa dengan orang Yamen
Melihat perempuan yang cantik-cantik
Isteri hilang di Madinah
Ada orang melambai saya di Raudah
Solat di saf paling hadapan di Masjid Nabawi
Berebut menggunakan tandas dengan Hj Yusof dan isteri
Urat betis dan peha tegang semasa saie
Minyak Wak Dakam habis sebotol di Mekah
Minyak kelapa dara tak boleh digunakan di Madinah

dan lain-lain (tak taulah berapa siri yang mampu saya tulis nanti)


Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...