Isnin, 8 April 2013

CATATAN MENGERJAKAN UMRAH (BAHAGIAN 3)

Catatan ini ialah catatan kenangan secara bersiri semasa saya menunaikan ibadah umrah bersama isteri dan tiga orang anak pada 24 Mac hingga 4 April 2013. Jika anda sudi membacanya...teruskanlah. Jika tidak ... tidak mengapa, kerana setiap mereka yang menjadi tetamu Allah itu akan mengalami pengalaman yang berbeza - Ateh Salim.

Saya, isteri saya dan tiga orang anak saya

Assalamualaikum wbt.

AIR MATA YANG MENGALIR
Ketika mengaminkan doa yang dibaca mengiringi keberangkatan meninggalkan Bandar Batu Pahat menuju KLIA air mata saya sudah mengalir.  Setiap kali kalimah 'ameen' saya lafazkan, berderai air mata membasahi pipi.  
Saya menangis bukan kerana takut tetapi hiba kerana tidak dapat membawa semua anak bersama. "Mereka sudah dewasa dan mempunyai kerjaya sendiri, biarlah mereka pergi dengan hasil rezeki mereka sendiri.....seperti aku yang tidak mengharapkan rezeki dari ibu dan bapaku dulu....." Demikian bisik hati sebagai memujuk perasaan sendiri.
Saya tidak bertanyakan perasaan isteri dan tiga orang anak yang ikut sama sehingga kini.

Doa sebelum berangkat
 
PERUT MUAL DAN TERASA NAK MUNTAH
Dua buah bas digunakan untuk mengangkut seramai 63 orang jemaah meninggalkan Dataran Markas  Parit Bilal menuju ke lebuhraya menuju KLIA. Bas melalui Jalan Parit Jalil ke Pekan Parit Sulong terus ke Pekan Pagoh sebelum memasuki lebuhraya. Perut saya mula berasa mual dan sekali-sekala terasa seperti hendak termuntah. Almaklum sudah lama sangat tidak menaiki bas. Sudahlah begitu, melalui jalan raya yang tidak lurus pula sepanjang Parit Sulong ke Pagoh.


MULUT TERKOMAT-KAMIT DI SEPANJANG PERJALANAN
Keadaan bas mula stabil bila melalui lebuhraya Utara-Selatan. Hampir kesemua penumpang senyap. Saya sentiasa berzikir sambil jari-jemari menggentel biji-biji tasbih diikuti doa: " Ya Allah terimalah kedatanganku ini....selamatkanlah perjalananku ini....sihatkanlah aku, isteriku dan anak-anakku agar kami dapat melakukan ibadat dengan sempurna. Jauhilah kesusahan dan dugaan-dugaan yang tidak dapat kami menanggungnya."
Hati sentiasa berdebar lantaran teringat cerita-cerita mereka yang baru pulang melakukan umrah. 

BERIHRAM DI KLIA
Disebabkan masa agak suntuk akibat proses menimbang bagasi, kami telah memakai ihram di bilik operasi pekerja KLIA dan seterusnya melakukan solat sunat di bilik sembahyang.
 
Saya jadi jurufoto sahaja....

SAMPAI KE JEDDAH
Tepat jam 1 petang (waktu Malaysia) Saudi Arabian Airline memulakan penerbangannya. Lebih kurang 8 jam kemudian pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz  Jeddah.
Setelah menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak proses pemerikasan imigresen dan kstam dibuat. Mungkin inilah dugaan pertama yang perlu ditempuhi apabila saya dapati ribuan manusia dari pelbagai negara dan bangsa menanti dengan penuh kesabaran dengan dilayani hanya tiga hingga empat orang pegawai imigresennya di kaunter. Naik lenguh kepala lutut berdiri menanti giliran passport disemak dan dicap. Sabar.....di Mekah nanti mungkin lebih banyak cabarannya.

Sempat mengambil foto isteri dan anak2 menggunakan HP ketika beratur panjang.
MENUKAR SIM KAD 'zain'
Dari Lapangan Terbang Jeddah ke kami dibawa dengan bas khas.  Sebelum bas bergerak naik seorang hamba Allah menjual sim kad dengan harga SR30. Isteri saya menunjuk ke arah saya.  Tanpa banyak persoalan saya terus membelinya dengan menggunakan duit riyal yang saya tukar semasa di Malaysia.
Ustaz naik bas dan bercakap sesuatu dalam Bahasa Arab (yang saya tidak faham langsung, tapi saya dapat mengagak menyuruh penjual itu turun dari bas). "Tak payah beli...takut kad palsu nanti.  Sampai Mekah ada banyak dijual." Katanya.
Hati saya sudah tidak menentu...belum apa-apa aku dah kena tipu.  Betullah kata orang, Arab tidak boleh dipercaya sangat. Terbang SR30 (SR=Saudi Riyal)  dari kocek.  Saya mendiamkan diri mengelakkan diketahui Jemaah lain. Isteri memandang saya. Saya mencebikkan bibir....tak pe lah kesilapan saya sendiri.

Saya terus menukar Sim Kad yang ada dalam handpone saya. Cuba nak menelefon anak-anak di Malaysia, bagi menyatakan ayah, mak dan adik-adik sudah selamat sampai di Jeddah. Tentu mereka juga tertunggu-tunggu. Tapi macam mana? Apa kodnya? Panggilan gagal dibuat. Saya yakin yang sebenarnya saya sudah ditipu. Saya redha....
Bila tiba di hotel, saya bertanyakan seseorang di lobi. Dia menunjukkan cara mengaktifkan handpone saya dan seterusnya memberitahu kod Malaysia ialah 006. Selepas itu maklumat pun sampailah ke Malaysia.
Saya tidak ditipu oleh penjual kad.  Malah beruntung kerana membelinya dengan harga SR30 sahaja.  Sedangkan mereka yang membeli di hotel dikenakan caj tambahan sebanyak SR1 bagi setiap SR10.



HOTEL SEDERHANA TETAPI KAMI SELESA.
Nama hotel penginapan kami di Mekah bernama HANIN AL-FIRDOUS. Jarak dari Masjidilharam hanya lebih kurang 200 meter sahaja.
Hasrat untuk melakukan umrah wajib sebaik sahaja tiba ke Mekah terpaksa dibatalkan kerana kesemua jemaah keletihan. Waktu pun sudah pukul 1 pagi. 
"Makan dan berehatlah", kata ustaz. "Besok jam 4.20 pagi kita ke masjid untuk solat subuh, selepas itu pulang semula ke hotel untuk bersarapan dan kita buat umrah wajib pada jam 7.30 pagi. Tapi ingat sekarang kita dalam ihram, jaga pantang-larangnya."
Sebagaimana permintaan kami sebelum bertolak untuk tinggal sebilik dipenuhi oleh pihak pengurusan. Bilik bernombor 14 di tingkat 14 yang menempatkan empat buah katil bujang. Disebabkan kami berlima, dua katil terpaksa dirapatkan. 

"Tak pe." Saya kata kepada anak-anak. "Kita datang bukan untuk mencari keselesaan, tapi untuk mencari keberkatan."
Hotel tempat kami menginap
Pandangan hotel pada waktu malam
Pada waktu siang
KALI PERTAMA MEMIJAK LANTAI MASJIDIL HARAM
Waktu Mekah dengan Malaysia jaraknya 5 jam. Kalau pukul 1 tengahari di Malaysia, waktu di Mekah 5 petang. Jam tangan saya, saya setkan mengikut waktu Mekah sementara jam di handpon saya setkan mengikut waktu Malaysia.
Waktu subuh di Mekah pada pukul 5.05 pagi. Pada hari pertama saya bersama beberapa jemaah dan ustaz pergi ke Masjidilharam pada jam 4.20 pagi. Terujanya saya untuk melihat kaabah dengan mata saya sendiri.
Dengan berpakaian ihram, kami berjalan pantas. Orang sudah ramai menuju ke masjid. Satu suasana yang belum pernah saya lihat secara 'live'.
Ustaz mengajak saya dan jemaah lelaki memasuki pintu yang berasingan dengan jemaah wanita.  
"Untuk kemudahan," katanya. "Nanti, siapa yang keluar dulu boleh tunggu di situ," katanya lagi sambil menunjuk ke arah tempat orang ramai mengambil air zam-zam.

Orang dari pelbagai negara dan bangsa tetapi agama yang sama\
Kami masuk dan itulah kali pertama saya memijak lantai Masjidilharam. Terasa lantai mar-marnya sejuk. Berjalan sederhana pantas mencari ruang yang kebanyakannya telah dipenuhi jemaah sambil membimbit sandal di dalam plastik. Saya dan Fitri serta Syafiq (anak) berdiri di saf yang sama. Kelihatan kaabah di hadapan mata sekarang. Saya lihat dengan mata saya sendiri. Bukan mimpi atau melihat foto di buku atau imej di kaca TV. Allah Maha Besar.....dan aku sebagai tetamuMU.  Saya memulakan solat taubat....dan tanpa menyedari air mata saya bercucuran......gembira bercampur sebak dan keinsafan yang mendalam.

Kalaulah kesemua anakku ada bersamaku sekarang......
Kali pertama memandang kaabah secara 'live'



Sandal di dalam plastik

Karpetnya ada lambang kerajaan Saudi Arabia


Bahagian 1
Bahagian 2

Bahagian 3
Bahagian 4 
Bahagian 5
Bahagian 6 
Bahagian 7 
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10 (Akhir) 
--------------------------------------

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...