Ahad, 14 April 2013

CATATAN MENGERJAKAN UMRAH (BAHAGIAN 9)

Assalamualaikum wbt.

MEMASUKI RAUDAH
Nabi bersabda: "Di antara rumahku dan mimbarku adalah Taman di antara taman-taman syurga."  Keluasannya tidak bertambah sejak zaman Nabi saw hingga sekarang.  Di sini juga dikatakan antara tempat mustajab untuk berdoa. 
Saya dan dua orang anak lelaki tidak sabar untuk memasuki ruang tersebut. Orang lelaki boleh masuk bila-bila masa, sementara untuk orang wanita ada masa-masa yang tertentu. Biasanya waktu selepas solat keadaan di Raudah terlalu padat dengan manusia.
.

Al-Khadra nama Kubah Hijau yang terletak di kiri mimbar dan mehrab masjid, di bawah kubah inilah terletaknya Makam Rasulullah saw dan dua orang sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khatab.  Ianya dibina pada pemerintahan Sultan Mahmud tahun 1233 M, dibina dari bahan yang berkualiti tinggi dan kekal sampai hari ini yang menjadi simbol Masjid Nabawi telah berusia hampir 800 tahun.  

Kubah Hijau

Lebih kurang jam 9 pagi 1 April 2013 (Isnin) kami bertiga memasuki Raudah melalui Babus-sallam.  Saya mengajak mereka mendirikan solat sunat tahiyyatul masjid, memberi salam kepada Rasulullah saw dan kedua-dua sahabatnya. Kami juga menyampaikan salam rakan-rakan yang berkirim salam..  Selepas itu bersolat sunat taubat diikuti dengan solat sunat hajat memohon dimudahkan untuk memasuki ruang Raudah. Saya berpesan kepada anak-anak untuk melakukan sendiri-sendiri. Selepas selesai bertemu semula di tempat kami bersolat itu. 
Muhammad Syafiq di Makalm Rasulullah saw

SYUKUR ALHAMDULILLAH
Kami berpecah kerana orang terlalu ramai.  Berhimpit-himpit hendak meloloskan diri ke dalam Raudah. Anak saya Fitri sudah ke hadapan.  Dia pandai mencari tempat dan dapat bersolat dengan selesa di barisan belakang tanpa gangguan. Saya lihat Syafiq pun mendapat tempat juga. 
Saya berdiri mencari ruang yang boleh dimasuki. Tiba-tiba seorang yang saya tidak tahu bangsanya, melambai saya dan saya terus menuju ke arahnya. Saya memegang lengannya sebagai tanda berterima kasih. Saya dapat melakukan solat sunat beberapa kali. Disebelah saya ada polis yang bertugas.  Dia duduk sahaja, tanpa mengganggu saya serta jemaah yang ada di situ. Kalau tadi seseorang telah memberi saya ruang, kini giliran saya pula memberi peluang kepada orang lain, lalu saya melambai seorang yang saya agak orang Indonesia. Dia tidak boleh bergerak ke arah saya sebab orang terlalu padat. Dia memberi peluang itu kepada orang lain.
Menunaikan solat sunat sebelum memasuki Raudah

ISTERI DAN ANAK HILANG
Waktu yang sesuai untuk memasuki Raudah bagi lelaki ialah pada waktu pagi sebelum zuhur. Walaupun orang sentiasa ramai, tetapi masih boleh dikira kurang. Selepas berjaya ke Raudah saya mengambil tempat di saf pertama dalam Masjid Nabawi untuk menanti solat zuhur pula. Waktu itu baru pukul 10 pagi.  

Selesai solat zuhur saya dan dua orang anak lelaki kembali ke hotel untuk makan tengah hari.  Biasanya isteri dan anak perempuan saya sudah sampai ke tempat makan lebih awal.  Tetapi hari itu kami tidak nampak mereka berdua. Selesai makan kami pergi ke bilik, kerana menyangka mereka sudah berada di situ.  Tetapi tidak ada. Saya menyuruh anak kembali ke tempat makan, tetapi tidak ada juga. 

Hati saya sudah tidak senang, saya mengagak mereka membeli belah. Perasaan nak marah mula datang.  Tetapi saya menyabarkan diri sendiri.  Saya menyuruh Fitri melihat di lobi hotel. Tidak lama kemudian Fitri balik dan mengatakan tidak bertemu dengan mereka, walaupun sudah mencarinya di kedai-kedai berdekatan sehingga ke masjid.

Kami menanti lagi di luar bilik hotel. Masih tiada. Kepala saya sudah berfikir macam-macam. Tak mungkin mereka berjalan-jalan kerana isteri saya tidak tahan lapar.  Memang ada cerita orang hilang atau sesat di masjid yang saya dengar.  Kalaupun sesat, isteri saya boleh berbahasa Inggeris. Fikiran saya terus memikirkan yang buruk-buruk.  Kalau hilang atau dicolek, perlu buat laporan ke kedutaan. Terbayang juga bila balik nanti tanpa isteri dan seorang anak.  Apa yang hendak dibertiahu kepada anak-anak di tanah air. Tentu gempar...masuk surat khabar dan berita di TV. Ahh......macam-macam !!

Saya mengajak Fitri kembali ke masjid.  Di masjid kami berdua solat taubat dan solat hajat dua rakaat. Memohon ampun dan petunjuk. Saya tidak mahu kehilangn isteri dan anak. Lepas itu kami terus pulang ke hotel. Syafiq masih di tepi pintu menanti kepulangan kami. Dia memberi isyarat tangan yang isteri dan anak perempuan saya masih belum pulang.


Secara tiba-tiba saya terdengar suara orang bercakap-cakap dari salah satu bilik yang daun pintunya terbuka.  Saya terus ke situ.  Saya dapati beberapa orang jemaah lelaki dan perempuan bercakap tentang keluarganya yang masih belum pulang.  Saya memberi salam dan menyatakan isteri dan anak perempuan saya juga belum pulang.  Masing-masing mengatakan tidak tahu ke mana mereka pergi. Walau macamana pun hati saya berasa lega sedikit sebab mereka yang dikatakan hilang itu satu kumpulan.  Kalau dalam satu kumpulan itu bermakna tidak hilanglah.  Mereka mungkin pergi ke satu tempat bersama-sama.

Tiba-tiba anak saya Syafiq berlari mendapatkan saya. "Mak dan balik", katanya. Saya bergegas ke ruang lift.  Kelihatan isteri dan anak perempuan saya bersama-sama beberapa orang wanita dengan wajah kepenatan.

"Awak ke mana?", saya bertanya tidak sabar-sabar.

"Ke Raudah", katanya pendek.

Hmmm.....semua orang lega !


Kalau kedua anak beranak ini hilang, ke mana saya nak cari?
Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3 
Bahagian 4
Bahagian 5
Bahagian 6
Bahagian 7 
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10 (Tamat)
...................................

1 ulasan:

Lela berkata...

sememangnya kenangan memasuki Raudhah menggamit rasa. Terasa diri begitu hampir dgn Rasulullah,kesayuan melanda saat hendak meninggalkannya. Semuga pertemuan ini bukan prrtemuan yg terakhir ya Rasulullah....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...