Ahad, 14 April 2013

CATATAN MENGERJAKAN UMRAH (BAHAGIAN 10 - Akhir)

Assalamualaikum wbt.

Ini adalah catatan bahagian terakhir mengerjakan umrah bersama isteri dan anak-anak. Terima kasih kepada anda yang sudi membacanya. 

BALIK KE TANAH AIR
Pada 3 April 2013 jam 12.30 tengahari waktu Arab Saudi (jam 7.30 pagi waktu Malaysia), kami check out dari hotel. Terasa sedih pun ada bila hendak meninggalkan Kota Madinah. Entah bila kami dapat ke situ lagi. Pun begitu kerinduan pada tanah air turut terasa terutama kepada anak-anak dan cucu-cucu.
Jam 3 petang kami bertolak ke Lapangan Terbang Madinah dengan bas. Ada sebahagian kawan-kawan yang akan pulang esoknya, kerana masalah penerbangan.
Kotak2 berisi botol air zam2 dimasukkan ke perut bas untuk dibawak ke Lapangan Terbang Madinah
Lapangan Terbang Madinah tidaklah besar sangat kalau dibandingkan dengan Lapangan Terbang Senai.  Jauh sekali dengan KLIA.  Urusan di situ agak leceh.  Yang menariknya di Lapangan Terbang ini, air mineral dalam botol boleh dibawa masuk ke pesawat. Para penumpang yang melalui pemeriksaan imbasan terpaksa membuka cermin mata, tali pinggang dan jam tangan. Lain padang, lain belalangnya, kata saya. 

Lapangan Terbang Madinah tidak menyediakan banyak kerusi

SOLAT SUBUH DALAM KEPAL TERBANG
Layanan dan suasana dalam Saudi Arabian Airline memang sangat memuaskan. Perut sentiasa kenyang. Dapat juga saya tidur, walaupun hanya tidur-tidur ayam. Tiba-tiba seorang kanak-kanak (anak kepada jemaah kami) mengejutkan saya. "Pak Cik...Pak Cik...solat subuh..."
Saya tengok jam. "Ai...pukul 4.15 pagi....solat subuh apanya?" Dalam hati saya merungut. Saya menoleh ke belakang. Kelihatan anak saya, Fitri memberitahu, hari sudah siang. Fitri duduk di tepi tingkap, sementara saya duduk di bahagian tengah. Dia membuka sedikit tingkap dan dengan serta merta cahaya terang menerejah masuk ke dalam pesawat. Sekarang di kawasan Benua India.
Saya masuk ke bilik air, mengambil wuduk dan bersolat di tempat duduk. Itulah kali pertama saya bersolat cara begitu
. Selama ini hanya belajar secara teori sahaja

Dalam pesawat yang selesa
ANAK CUCU MENANTI DI KLIA
Walaupun pihak syarikat yang menguruskan pemergian umrah ada menyediakan perkhidmatan bas dari KLIA ke Batu Pahat, tetapi anak-anak hendak juga mengambil kami di KLIA. Selepas selesai mengambil bagasi, kami berjalan keluar dan kelihatan dua orang anak saya bersama isteri dan anak masing-masing sedia menanti. Yang tidak ada Khairul Anwar yang berada di Lahat Datu dan Nurulhuda yang tidak mendapat cuti dari majikannya.

Keluar dari KLIA

SIM KAD HILANG DAN JUMPA SEMULA
Sim kad HP saya telah hilang (lupa letak) semasa saya menukar sim kad Arab Saudi di Mekah.  Susah hati betul saya, kerana sebahagian nombor telefon ada dalam sim kad tersebut.  Tetapi nak buat macam mana, saya terpaksa redha juga. Lima hari saya tidak boleh menggunakan HP, kerana hanya pada hari Isninnya barulah saya sempat ke Pusat Celcom di Batu Pahat menukar sim kad baru. Sebelum itu saya cari lagi kad tersebut di dalam semua beg dan kocek baju serta seluar.
Saya war-warkan di FB tentang masalah tersebut dan meminta rakan-rakan memberikan nombor telefonnya menerusi in box.  Yang telah memberikan nomborHPnya saya ucapkan terima kasih.

Hendak dijadikan cerita setelah tiga hari saya menggunakan sim kad yang baru (nombor telefon masih sama), saya terjumpa kad tersebut di dalam mesen pencuci pakaian. Pelik betul, tetapi kad tersebut sudah tidak boleh digunakan kerana telah ditamatkan penggunaannya oleh Celcom.

Sim kad dalam mesin basuh
PENUTUP
Banyak pengalaman yang saya perolehi semasa mengerjakan umrah. Kalau ditakdirkan Allah,  saya dan isteri menerima jemputanNya untuk mengerjakan haji pula, bolehlah saya menggunakan sebahagian pengalaman tersebut.

Sesungguhnya mengerjakan ibadah umrah itu banyak dugaan dan memerlukan kecerdasan mental, emosi serta fizikal. Selama 10 hari di Dua Tanah Haram, terlalu banyak pengajaran yang saya pelajari. Bagaimanakan keadaan jemaah haji yang memakan masa lebih sebulan dan berganda ramainya itu. Sesungguhnya saya sangat kagum dan menghormati mereka yang telah berjaya melaksanakan Rukun Islam ke-5 itu. Bukan sahaja pengorbanan terhadap harta, malah masa dan tenaga juga.

"Ya Allah, terimalah taubatku.  Aku bersyukur kerana telah menjadikan kami sebagai tetamuMU. Terimalah kami sebagai tetamuMU untuk melakukan fardu haji pula. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi."




Terima kasih kepada yang sudi membaca catatan ini.

Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3 
Bahagian 4
Bahagian 5
Bahagian 6
Bahagian 7 
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10 (Tamat)

2 ulasan:

Siti Faridah bte Arshad berkata...

Saya adalah insan yg selalu membaca catatan tuan. Terubat juga rindu kpd Baitullah. Terasa macam saya sama2 berada di Mekkah dan Madinah. Semoga saya dan keluarga akan dpt ke sana lagi sama ada menunaikan haji atau umrah. Amin....

Ateh Salim berkata...

Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...